followers comel

Friday, 6 July 2012

Metafora Dinihari

Assalamualaikum *salam buat diri sendiri kerana aku tahu tiada siapa yang membaca :P Jika ada, terima kasih*

Lama sudah kuabaikan ruang hitam gadis sepi, untuk secebis karya yang mengisi hari-hari mendung. Ah, entah kenapa semuanya kini seakan-akan menerawang di angkasa. Minatku, cintaku; semuanya sudah berterbangan pergi, meninggalkan aku terkebil-kebil, terperangkap di duniaku sendiri. 

Kadang-kadang aku mencari erti, mencari identiti diri. Tetapi semakin jauh aku cuba menelusuri hati ini, aku mulai mengalah. Kerana aku tidak ketemu jalan masuk, apatah lagi jalan keluar. Aku buntu. 

Aku seolah-olah berada di sebuah pulau yang cukup asing. Entah bila kunaiki kapal, lantas karam, lalu aku terdampar di sini. 

Aku tak punya sesiapa di pulau yang cukup asing ini. Aku perlu berdikari untuk terus hidup. Hati perlu kental. Aku terpaksa. Jika tidak, sudah tentu aku mati kebuluran, mati kehausan. Sedangkan lautan terdampar luas di hadapanku, dan buah-buahan segar tumbuh di sekelilingku. 

Setiap ketika aku berdoa agar ada kapal yang melintasi pulau terpencil ini; moga-moga ada kelasi yang memerhati bahawa ada seorang manusia yang terkapai-kapai di sini, berharap untuk pulang ke dunia asal. Tetapi hampa. 

Bahkan hari demi hari aku menunggu, sehinggakan wajahku sudah ditakluki jambang *hmm, hormon tak stabil*, namun kapal yang kutunggu, kunanti, tidak kunjung tiba. 

Aku menangis, menangis dan menangis. Namun air mata darah tidak pernah mengalir, kerana jauh di lubuk hatiku, aku masih percaya suatu masa, aku akan kembali ke dunia nyata.

Malas mengerah keringat untuk terus mengalirkan air mata, kukumpulkan ranting-ranting kayu, lantas kunyalakan unggun untuk menemani malam sunyiku.




No comments:

Post a Comment